Sunday, January 18, 2009

BN PERLU WASPADA

Sebelum ini, saya memberikan nisbah 45:55 kemungkinan berpihak kepada calon Barisan Nasional menunjukkan betapa saya juga merasai kesukaran yang bakal dilalui oleh calon pilihan 'kerajaan' dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Bahang pembangkang dan 'revolusinya' dalam PRK Kuala Terengganu terasa sangat dekat di Kuala Lumpur.
Antara catatan ringkas LM di sebalik kemenangan pembangkang antaranya;

1. Kerajaan memukul canang di dada media bahawa calon BN bakal ditawarkan jawatan dalam kabinet jika menang dalam PRK. Sebagai rakyat yang 'tertindas' oleh kemalaratan dan kacau bilau kos hidup, apa priority utama yang ingin 'orang-orang kerajaan' beritahu kepada rakyat yang rimas dengan keadaan kehidupan semasa mereka?

2. Penglibatan media massa secara besar-besaran dalam cubaan mempengaruhi pengundi. Artikel yang 'bias', mengambil ruang kolum luas menonjolkan 'kebaikannya' jika mengundi calon pilihan kerajaan. Harus diingatkan, kawasan tersebut bukan kubu kuat BN. Majoriti lepas hanya 628. Sejarahnya juga mencatatkan kawasan tersebut ditawan silih berganti antara PAS dan UMNO. Media massa kurang disenangi kerana disifatkan oleh orang kampung sebagai 'asyik bercakap besar'.

3. Mesej jelas kepada barisan kepimpinan BN dalam kabinet bahawa ada beberapa keputusan kerajaan yang tidak disenangi rakyat. Tidak dapat dinafikan dalam PRK, isu nasional tidak dapat dipinggirkan malah mempunyai peranan lebih besar berbanding dengan isu-isu tempatan. Barisan kabinet yang dipandang lemah, isu kronism, isu proksi, termasuk beberapa keputusan kerajaan yang membebankan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Mereka menjadikan PRK sebagai medan melempiaskan rasa tidak puas hati, 'sakit hati' oleh derita yang ditanggung akibat kos hidup yang melambung tinggi. Pertimbangan politik mereka bukan lagi ditentukan oleh siapa calon PAS, siapa calon UMNO tapi lebih kepada satu pernyataan jelas - mahu menyampaikan PESAN EMOSI yang tidak senang dengan kredebiliti kerajaan mentadbir bangsa dan negara.

Harus diingatkan juga, mentaliti seumpama ini sudah bersarang juga di jiwa anak-anak sabahan. Bukan kerana mereka tidak menyokong siapa yang memimpin mereka tapi kerana CARA mereka melaksanakan tanggungjawab politik yang tidak komitmen membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan terutama sekali di ceruk desa mana sekalipun. Ada projek yang dirancang baik tetapi lebih memberikan 'kebaikan' kepada kocek orang-orang tertentu. Manafaatnya tidak sampai kepada golongan sasaran. Mengapa sukar sangat untuk membangunkan kawasan sendiri?

Ada segelintir individu yang mahu jadi pemimpin tapi akhirnya tenggelam arah bila mengangkat beban antara KUASA politik, KUASA wang dan KUASA memimpin. Ini belum kita sentuh tentang soal komitmen, soal budaya kerja, soal keupayaan minda dalam melahirkan idea, soal dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan soal pengorbanan.

No comments:

Post a Comment